PENGHANTARAN 15 ANAK ASNAF KE PROGRAM LATIHAN & KERJAYA ONSHORE OIL & GAS
- 5 Jul
- 1 min membaca

MAINS dengan kerjasama High Skills Technology Sdn. Bhd. (HiSTEC) telah menghantar seramai 15 orang anak asnaf yang berjaya dalam sesi temuduga sebelum ini ke Ranaco Education & Institute, Kemaman bagi mengikuti Program Latihan dan Kerjaya Onshore Oil & Gas selama tiga minggu.
Sebelum ini, sesi temuduga bagi pemilihan peserta telah diadakan pada 24 Jun 2026 di Masjid Bandar Senawang, Negeri Sembilan bagi mengenal pasti calon yang layak menyertai program tersebut.
Program ini bertujuan menyediakan peluang kepada anak-anak asnaf fakir dan miskin MAINS untuk meningkatkan kemahiran serta memperoleh pensijilan profesional bertaraf industri dalam bidang Onshore Oil & Gas. Selain itu, program ini turut memperkukuh semangat, disiplin serta keyakinan diri peserta dari aspek mental dan fizikal agar lebih berdaya saing dalam pasaran pekerjaan.
Keseluruhan kos program yang ditanggung sepenuhnya oleh MAINS adalah sebanyak RM157,250.00. Tajaan tersebut merangkumi yuran latihan, pensijilan profesional, penginapan, elaun sara diri serta peruntukan bagi persediaan latihan dan persediaan memulakan pekerjaan.
Lebih membanggakan, para peserta juga akan ditawarkan penempatan pekerjaan selepas berjaya menamatkan program latihan ini.
MAINS yakin inisiatif ini mampu melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir dalam kalangan anak-anak asnaf, sekali gus menjadi pemangkin kepada transformasi sosioekonomi keluarga mereka melalui peluang pekerjaan yang lebih stabil dan berpendapatan tinggi.



