MAINS SANTUNI KELUARGA TERKESAN, BANTU PROSES PEMINDAHAN KE KEDIAMAN LEBIH SELAMAT

Di Seremban, MAINS bersama Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia (LKPIM) telah menyantuni sebuah keluarga yang terkesan susulan kerja-kerja perobohan sebahagian kediaman mereka bagi tujuan projek pembesaran sungai berhampiran Bangunan MARA.
Keluarga berkenaan sebelum ini menetap di atas tanah rizab kerajaan yang turut berada di kawasan yang sering dilanda banjir.
Lima ahli keluarga mendiami kediaman tersebut, terdiri daripada tiga orang warga emas, seorang lelaki yang telah kematian isteri serta anaknya yang berusia tiga tahun. Salah seorang warga emas berkenaan juga tidak mampu berjalan akibat mengalami masalah tulang reput.
Prihatin dengan keadaan keluarga tersebut, MAINS telah membantu mendapatkan sebuah rumah sewa di Kampung Ujong Pasir sebagai kediaman baharu yang lebih selamat dan sesuai untuk mereka.
Sumbangan turut disalurkan bagi membantu proses pemindahan keluarga berkenaan ke rumah sewa tersebut. Selain bantuan yang telah diberikan, MAINS juga akan membantu menanggung bayaran deposit rumah sewa bagi meringankan beban keluarga ini untuk memulakan kehidupan di kediaman baharu.
Semoga bantuan ini dapat memberikan sedikit kelegaan dan ruang yang lebih selesa buat keluarga berkenaan, khususnya dalam menjaga kebajikan warga emas dan anak kecil yang berada di bawah jagaan mereka.
MAINS akan terus komited menyantuni golongan yang memerlukan serta memastikan bantuan zakat dapat disalurkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan.



