USAHAWAN ASNAF MENGUSAHAKAN PROJEK PENTERNAKAN IKAN
- 7 Ogo
- 2 min membaca

MAINS hari ini turun padang menziarahi seorang usahawan asnaf yang mengusahakan projek penternakan ikan di kediamannya di Kampung Paya Lama, Lorong Alur Sungai, Port Dickson.
Usahawan berkenaan, En. P. Muhomed Ibrahim Mohd. Sharif, 65, menghidap penyakit jantung kronik yang menjejaskan keupayaan beliau menguruskan projek penternakan secara optimum. Beliau tinggal bersama isterinya yang bekerja sebagai pekerja pembersihan di Sekolah Vokasional Port Dickson. Pasangan ini mempunyai seorang anak perempuan berusia 24 tahun yang menghidap talasemia dan masih belum memperoleh pekerjaan tetap. Keadaan tersebut menyebabkan beban kewangan keluarga semakin meningkat serta menjejaskan kemampuan mereka untuk mengembangkan perusahaan penternakan yang diusahakan.
Pada masa ini, beliau menternak 560 ekor benih ikan tilapia merah dan 500 ekor benih ikan keli yang telah dilepaskan ke kolam pada 13 April lalu. Projek ini dimulakan secara berperingkat dengan memanfaatkan bantuan bulanan sebanyak RM250, sebelum berkembang sedikit demi sedikit sehingga mencapai skala penternakan yang diusahakan pada hari ini.
Sebelum ini, beliau turut menjalankan penternakan udang, namun projek tersebut terpaksa dihentikan kerana kos operasi yang tinggi, termasuk kos pengangkutan air masin sebanyak RM200 bagi setiap perjalanan. Selain itu, tempoh tuaian yang panjang, harga jualan yang rendah serta faktor kesihatan menyebabkan projek penternakan udang tidak lagi berdaya maju untuk diteruskan.
Ziarah hari ini bertujuan menilai tahap keupayaan semasa projek, mengenal pasti cabaran yang dihadapi serta mencadangkan bentuk bantuan yang bersesuaian bagi meningkatkan produktiviti dan taraf sosioekonomi usahawan tersebut.
Selain itu, ziarah ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Unit Sosioekonomi MAINS dalam memastikan bantuan yang disalurkan bersifat produktif, berimpak tinggi dan mampu membantu golongan asnaf keluar daripada kepompong kemiskinan secara berperingkat serta mampan.
Bagi memastikan projek penternakan ini dapat diteruskan dengan lebih berkesan, MAINS Daerah Port Dickson bersama Pengarah Jabatan Zakat MAINS, Tn. Mahadi Ali, turut menyampaikan simbolik bantuan berupa blower oksigen, penapis air, pam air serta bekalan makanan ikan secara berkala.
Hadir sama Ketua Penolong Pengarah Bahagian Agihan MAINS, En. Mohd. Hasni Zulkifle, bersama Pegawai MAINS Daerah Port Dickson, Pn. Nur Azizah Abdul Aziz.



