MAINS ZIARAH KEBAJIKAN KE ATAS DUA BUAH KELUARGA YANG BARU KEHILANGAN KETUA KELUARGA
- 21 Jul
- 1 min membaca

Kehilangan insan yang menjadi tempat bergantung bukan sahaja meninggalkan luka di hati, malah mengundang pelbagai cabaran dalam meneruskan kehidupan, lebih-lebih lagi apabila keluarga kehilangan sumber pendapatan utama.
Atas rasa prihatin terhadap ujian yang menimpa, MAINS telah mengadakan ziarah kebajikan ke atas dua buah keluarga yang baru kehilangan ketua keluarga di kawasan Labu dan Mantin, petang tadi.
Bagi meringankan beban yang ditanggung, MAINS telah menyalurkan bantuan zakat segera berjumlah RM500 kepada setiap keluarga sebagai bantuan awal. Sumbangan ini diharapkan dapat membantu memenuhi keperluan asas keluarga sementara menunggu proses penilaian dan kelulusan bagi bantuan susulan mengikut syarat serta prosedur yang ditetapkan.
Bantuan telah disampaikan oleh Penolong Pegawai MAINS Cawangan Nilai, Pn.Khaleeda Abas. Turut hadir ialah Pegawai Skuad PERKESO Prihatin Negeri Sembilan sebagai tanda sokongan dan keprihatinan kepada keluarga yang sedang melalui saat-saat sukar.
Semoga bantuan yang disalurkan sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka, di samping menjadi bukti bahawa masih ada tangan yang menghulur dan hati yang peduli ketika ujian melanda.



