BAYI PRAMATANG TERIMA BANTUAN RM15k
- 16 Jul
- 1 min membaca

Di sebuah rumah sederhana di Taman Desa Dahlia, seorang bayi yang kini berusia empat bulan dilahirkan pramatang dan disahkan menghidap 'Prematurity with Chronic Lung Disease'.
Si kecil ini memerlukan rawatan serta suntikan khas bagi memastikan keadaannya terus dipantau dan diberi peluang untuk membesar dengan lebih sihat.
Bagi kedua-dua ibu bapanya, setiap hari adalah perjuangan. Harapan mereka hanya satu, iaitu melihat anak kecil mereka membesar dengan sihat seperti kanak-kanak lain. Namun, kos rawatan yang tinggi menjadi cabaran besar buat keluarga ini.
Menyedari keperluan mendesak tersebut, MAINS telah menghulurkan bantuan perubatan melalui 'Guarantee Letter' (GL) bagi membiayai kos suntikan bernilai RM15,000, sekali gus membolehkan rawatan diteruskan tanpa keluarga perlu memikirkan beban kewangan yang semakin menghimpit.
Inilah indahnya hikmah zakat. Setiap ringgit yang ditunaikan oleh para pembayar zakat bukan sekadar membantu meringankan beban kewangan, malah menjadi sinar harapan kepada mereka yang sedang diuji. Dalam setiap agihan, terselit doa, kasih sayang dan keprihatinan seluruh masyarakat terhadap golongan yang memerlukan.
Semoga bantuan ini menjadi asbab kesembuhan buat si kecil, menguatkan hati kedua-dua ibu bapanya, serta menjadi amal jariah yang berterusan buat semua pembayar zakat.
Terima kasih kepada semua pembayar zakat. Zakat anda bukan sekadar membantu, tetapi memberi harapan, menyantuni kehidupan dan membuka ruang untuk masa depan yang lebih baik.



