4 NELAYAN ASNAF PORT DICKSON TERIMA JALA

Empat orang nelayan asnaf di daerah Port Dickson menerima bantuan berupa satu set jala dan wang tunai bagi membantu meningkatkan keupayaan mereka menjana pendapatan melalui aktiviti perikanan.
Penyerahan bantuan tersebut turut dirakam menerusi dokumentari bertajuk“Impak Zakat dan Wakaf: Kehidupan Asnaf dan Projek Kubah Pengering Solar”dengan kerjasama Persatuan Nelayan Kawasan Telok Kemang.
Dokumentari berkenaan bertujuan mengetengahkan impak sebenar agihan zakat dan wakaf MAINS terhadap kehidupan penerima manfaat, khususnya golongan nelayan asnaf yang memanfaatkan Projek Kubah Pengering Solar dalam memproses hasil tangkapan mereka.
Projek yang melibatkan kos pembinaan sebanyak RM58,320 itu dilaksanakan melalui Wakaf Negeri Sembilan Muamalat (WNSM) bagi membantu meningkatkan kecekapan proses pengeringan ikan, sekali gus membuka potensi kepada peningkatan sumber pendapatan nelayan.
Rakaman dokumentari mengikuti sendiri rutin nelayan bermula seawal pagi dengan aktiviti menebar jala dan menangkap ikan sebelum hasil tangkapan dibawa ke darat untuk melalui proses pembersihan, membelah dan mencuci ikan. Ikan kemudiannya dikeringkan menggunakan Kubah Pengering Solar sebelum diproses sebagai ikan kering.
Projek Kubah Pengering Solar merupakan antara hasil pengurusan wakaf tunai antara MAINS dan Bank Muamalat Malaysia Berhad (BMMB) melalui WNSM. Dana wakaf tunai yang disumbangkan oleh orang ramai disalurkan kepada projek-projek wakaf terpilih yang memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat.
Turut hadir Pengarah, Jabatan Wakaf dan Mal, MAINS, Tn. Hj. Norazman Amat; Pegawai MAINS Daerah Port Dickson, Pn. Nur Azizah Abd Aziz, Pensyarah Kanan, Jabatan Perdagangan, Politeknik Port Dickson, Pn. Noorji Mohd Japar dan Pengurus Besar, Persatuan Nelayan Kawasan Telok Kemang, En. Mohd Fauzi Mohamed Zakaria.



