PROGRAM LATIHAN & KERJAYA ONSHORE OIL & GAS
- 24 Jun
- 2 min membaca
Updated: 25 Jun

MAINS dengan kerjasama High Skills Technology Sdn Bhd (HiSTEC) telah melaksanakan Sesi Temuduga Program Latihan dan Kerjaya 'Onshore Oil & Gas' pada 24 Jun 2026 bertempat di Masjid Bandar Senawang, Negeri Sembilan.
Seramai 20 orang anak-anak asnaf MAINS telah hadir bagi menjalani proses pemilihan. Penilaian merangkumi Ujian Psikologi dan Kerjaya, Taklimat Pusat Latihan RANACO Education & Training Institute (RETI) Kemaman, Terengganu serta Ujian Fizikal.
Program ini dirangka sebagai inisiatif memperkasakan golongan asnaf melalui pendidikan kemahiran TVET berkualiti tinggi. Selaras dengan peningkatan permintaan sektor minyak, gas dan kejuruteraan, HiSTEC selaku syarikat pakar runding institusi pengajian lanjutan telah membentuk pakatan strategik bersama Ruane-TATI, anak syarikat Kerajaan Negeri Terengganu, bagi menawarkan pensijilan profesional PCN-UK.
Turut disertakan pensijilan Bureau Veritas (BV-FR) dan OPITO-UK bagi memenuhi keperluan industri Oil & Gas Malaysia dan antarabangsa.
Kerjasama strategik turut dijalin bersama RETI yang menyediakan kemudahan latihan lengkap dalam bidang Perkapalan, Maritim serta industri 'Oil & Gas Onshore dan Offshore'.
Selain itu objektif program ini menyediakan peluang kepada anak asnaf fakir miskin MAINS untuk meningkatkan kemahiran dan memperoleh pensijilan profesional bertaraf industri dalam bidang 'Oil & Gas', Mmemperkukuh semangat dan keyakinan diri peserta secara mental dan fizikal agar berdaya saing dalam pasaran kerja.
Calon yang dipilih hanyalah 15 orang sahaja dan akan memulakan latihan pada 5 Julai sehingga 23 julai. Jumlah kos keseluruhan program yang ditaja sepenuhnya oleh MAINS adalah sebanyak RM157,250.00.
Tajaan merangkumi yuran latihan, pensijilan profesional, penginapan, elaun serta peruntukan perbelanjaan persediaan latihan dan persediaan memulakan pekerjaan. Selain itu, selepas mereka tamat akan diberikan penempatan pekerjaan.
MAINS yakin inisiatif ini mampu melahirkan tenaga kerja mahir dalam kalangan anak asnaf dan menjadi pemangkin kepada transformasi sosioekonomi keluarga mereka.
Hadir dalam sesi temuduga Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Agihan MAINS, En. Mohd Hasni Zulkifle, Ketua Unit Kaunseling,Bahagian Kaunseling dan Pembangunan Insan MAINS,Siti Noor Hafizah Che Jusoh bersama delegasi RETI.



