DARI ZAKAT ANDA, 24 ANAK NEGERI SEMBILAN TERBANG KE AL-AZHAR

Setiap ringgit zakat yang ditunaikan membawa sebuah harapan. Kali ini, ia membawa 24 orang pelajar tajaan MAINS merentasi ribuan kilometer untuk menyambung pengajian dalam bidang Pengajian Islam di Universiti Al-Azhar, Mesir.
Pemergian mereka bukan sekadar perjalanan menyambung pengajian di luar negara, tetapi membawa bersama amanah besar untuk menimba ilmu dan kembali menyumbang kepada agama, masyarakat serta negeri.
Majlis pelepasan rasmi telah berlangsung di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan disempurnakan oleh Pengarah, Jabatan Zakat MAINS, Tn. Mahadi Ali. Turut hadir Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pendidikan JHEAINS, Ust. Mohd Taufik Alias.
Bagi memastikan urusan perjalanan dan kebajikan para pelajar berjalan lancar sehingga tiba di Mesir, kesemua mereka turut diiringi oleh Pegawai Kebajikan Pelajar Rumah Negeri Sembilan Kaherah (RNSK) MAINS, Ust. Muhammad Auf Norzan Shah.
Kesemua pelajar telah melalui proses pemilihan yang merangkumi sesi temu duga, saringan akademik dan latar belakang serta kursus persediaan yang diuruskan oleh Bahagian Pendidikan JHEAINS sebelum ditawarkan dermasiswa penuh di bawah tajaan MAINS.
Tajaan ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan MAINS dalam membangunkan modal insan, khususnya dalam bidang keilmuan Islam, sekali gus mendukung hasrat melahirkan generasi cendekiawan Islam yang berkaliber, berwibawa dan mampu menyumbang kembali kepada masyarakat.
MAINS turut berpesan agar para pelajar menjaga nama baik Negeri Sembilan dan Malaysia sepanjang berada di perantauan serta memanfaatkan peluang yang diberikan untuk menimba sebanyak mungkin ilmu, pengalaman dan kematangan.
Hari ini mereka berangkat dengan sebuah impian. Di sebalik perjalanan itu, ada zakat anda yang membantu merealisasikannya.
Terima kasih kepada seluruh pembayar zakat MAINS.



