CAREER INSIGHT ANAK-ANAK ASNAF MAINS PORT DICKSON, SEREMBAN 2
- 27 Jun
- 1 min membaca

Alhamdulillah, telah berlangsung dengan jayanya Program Career Insight Anak-anak Asnaf MAINS Daerah Port Dickson dan Cawangan Seremban 2 pada 26 hingga 27 Jun 2026 bertempat di Quest Midport Hotel, Port Dickson dengan penyertaan anak-anak asnaf yang mengikuti pelbagai aktiviti pembangunan diri, kerjaya dan motivasi.
Program dimulakan dengan sesi 'Ice Breaking' serta pembahagian kumpulan bagi mewujudkan semangat kerjasama dan keyakinan dalam kalangan peserta.
Seterusnya, peserta mengikuti LDK 1 'Career Tag' yang disertakan dengan Inventori IMKS bagi membantu mengenal pasti minat, kecenderungan serta potensi kerjaya yang bersesuaian dengan personaliti masing-masing.
Pada sebelah malam, peserta mengikuti LDK 2: Teropong Ajaib, diikuti LDK 3: Mentol Harapanku dan LDK 4: Pagar Berduri yang memberi penekanan kepada pembentukan matlamat hidup, kemahiran menyelesaikan masalah, daya tahan serta semangat untuk menghadapi cabaran dalam mencapai cita-cita. Program diteruskan dengan sesi refleksi bagi memberi ruang kepada peserta menghayati ilmu dan pengalaman yang diperoleh sepanjang hari.
Pada hari kedua, peserta menyertai LDK 5: Eksplorasi Kerjaya secara luar dewan yang memberi pendedahan kepada kepentingan kerjasama berpasukan, komunikasi serta penerokaan potensi diri dalam dunia kerjaya.
Program diteruskan dengan Bicara Inspirasi bertajuk Dari Cabaran ke Pencapaian yang menampilkan perkongsian kejayaan daripada anak asnaf cemerlang akademik sebagai sumber inspirasi dan motivasi kepada peserta untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan.
Program diakhiri dengan sesi refleksi, pengisian borang penilaian program serta Majlis Penutup sebagai simbolik berakhirnya program yang diharapkan dapat melahirkan generasi anak asnaf yang lebih berkeyakinan, berwawasan dan bersedia merancang hala tuju pendidikan serta kerjaya pada masa hadapan.



