3 ASNAF BAKAL USAHAWAN KELULUT BERJAYA, INSYA-ALLAH

Daripada 10 peserta yang menyertai Projek Penternakan Kelulut MAINS Siri-3, tiga orang asnaf telah dipilih sebagai bakal usahawan kelulut berdasarkan pencapaian dan prestasi terbaik dalam penternakan kelulut.
Program ini dilaksanakan dengan kerjasama Dino Kelulut, antara penternak kelulut utama di Negeri Sembilan.
Hari ini, MAINS turun menziarahi ketiga-tiga rumah peserta terpilih bagi melihat perkembangan projek serta proses penternakan yang sedang dijalankan. Setiap peserta sebelum ini telah dibekalkan dengan 10 unit sarang kelulut untuk diternak, dikembangkan dan seterusnya dipasarkan sebagai salah satu sumber pendapatan.
Mohammad Azri Ab Aziz | Kg Jai, Lenggeng
Daripada 10 unit sarang yang dibekalkan, beliau kini mempunyai 20 unit sarang kelulut, termasuk sarang yang dihasilkan sendiri. Hasil madu kelulut yang diperoleh juga telah mula dipasarkan.
Nurul Fizzattul Akma Mohd Aris | Kg Jumbang, Seri Menanti
Beliau kini mempunyai 20 unit sarang kelulut. Menariknya, lokasi penternakan ini turut berpotensi untuk dibangunkan sebagai salah satu tarikan pelancongan hasil sumbangan seorang individu awam.
Nor Ain Alias | Kg Rembang Panas
Antara peserta yang menunjukkan perkembangan memberangsangkan. Dalam tempoh tiga bulan, sebanyak 107 botol madu kelulut telah dihasilkan dengan jumlah hasil jualan mencecah RM4,107.
Lebih daripada sekadar bantuan, projek ini menjadi platform untuk para asnaf membina ilmu, kemahiran dan keyakinan untuk berdikari.
Melalui Projek Penternakan Kelulut MAINS Siri-3, peserta dibimbing untuk mengurus penternakan dengan lebih teratur, menghasilkan produk berkualiti serta mengembangkan hasilnya sebagai sumber pendapatan tambahan.
Usaha ini diharap dapat melahirkan lebih ramai usahawan dalam kalangan asnaf yang berdaya saing, berdikari dan mampu menjana pendapatan secara berterusan, sekali gus memperkukuh ekonomi keluarga dan komuniti.
Daripada asnaf kepada usahawan, inilah antara usaha MAINS dalam memperkasa kehidupan penerima bantuan melalui pembangunan ekonomi yang mampan.



